Sunday, April 6, 2008

HARIAN METRO: Panik air naik mendadak

03/04/2008
KUALA LUMPUR: Hujan lebat luar biasa hampir tiga jam semalam sudah cukup untuk meresahkan warga kota berikutan beberapa kawasan rendah ditenggelami banjir kilat, selain kejadian tanah runtuh di sekitar Lembah Klang.

Penduduk mendakwa hujan lebat yang bermula kira-kira jam 3 petang dan berlanjutan lebih dua jam itu menyebabkan mereka panik apabila air naik mendadak sehingga paras paha.

Penghuni Kondominium De Tropicana, Jalan Kuchai Lama di sini, mendakwa kejadian banjir lumpur yang berlaku semalam berpunca pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Putrajaya tidak mempunyai sistem perparitan sempurna.

Pengerusi Persatuan Penduduk kondominium berkenaan, Chin Yen Foo, berkata banjir lumpur yang berlaku kali ini adalah yang terburuk sejak kejadian pertama 24 Disember tahun lalu.

“Kali ini, empat kenderaan yang diletakkan di aras bawah rosak kerana gagal dibawa keluar.

“Hujan hanya dua jam saja sudah cukup untuk meresahkan kami kerana masing-masing sibuk menyelamatkan kenderaan.

“Kejadian ini berpunca daripada pembinaan lebuh raya kerana mereka tidak membuat sistem perparitan sempurna,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Difahamkan pihak pengurusan kondominium terbabit terpaksa membuat laluan alternatif bagi membolehkan air mengalir keluar ke longkang 100 meter dari kondominium itu.

Tinjauan Harian Metro di sekitar kawasan itu mendapati kesan kelodak jelas kelihatan memenuhi setiap penjuru kondominium terbabit.

Beberapa pekerja dilihat sibuk membersihkan kelodak menggunakan pili bomba dan dikatakan mengambil masa tiga hari untuk membersihkan keseluruhan tingkat bawah kondominium itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20080403093847/Article/index_html

No comments: